Pages

Monday, February 24, 2014

Aurat Ketika Bersalin. 1.0

[AURAT KETIKA BERSALIN 1.0]

(Di bilik daftar masuk wad bersalin (admission room), jam 11 malam.)
PESAKIT ABC : Saya mahu doktor perempuan saja periksa.
SAYA: Ok, tapi dia sedang attend kes di wad gynae. Ambil masa sikit.
PESAKIT ABC: Tak apa. Saya lagi sanggup tunggu. Saya tak sakit pun lagi.

(Selepas 15 minit…)
PESAKIT ABC: Doktor, saya dah tunggu lama dah. Bila giliran saya. Orang lain semua dah siap dah. 
SUAMI PESAKIT ABC: Kalau terberanak di sini siapa nak jawab? Anak saya ni doktor, tahu…
SAYA: Ada rasa sakit ke?
PESAKIT ABC: Tak. Tapi tak kanlah nak tunggu sakit.
SAYA: Ya lah, tadi kata nak tunggu, doktor perempuan tu belum selesai lagi. Puan elective admission saja. Bukan nak bersalin lagi.
SUAMI PESAKIT ABC: Kalau jadi apa-apa, siapa nak jawab? Macam ni ke perangai doktor sekarang. Saya dah lama tunggu tau! Pergi lah panggil dia. Takkan doktor perempuan lain tak ada?

(Saya melaporkan kepada senior medical officer, dan dia minta saya tukar tempat dengan doktor perempuan itu (senang cerita). Alhamdulillah, kata saya, saya pun tak kuasa nak layan orang macam ni (dalam hati). )

Doktor perempuan itu sedang menangani kes PESAKIT XYZ, kes miscarriage/keguguran, terpaksa meninggalkan kes itu separuh jalan. Dalam masa tidak sampai seminit sewaktu transisi pertukaran tempat, sewaktu saya sedang naik ke tingkat 5 (wad gynae) dan doktor perempuan itu hendak ke bilik admission, PESAKIT XYZ tiba-tiba mengalami cervical shock (vasovagal) dan bleeding yang menyebabkan SHOCK (keadaan di mana tekanan darah menjadi sangat rendah dan boleh menyebabkan kematian dalam masa singkat). Saya berhempas pulas, cuba mengeluarkan POC (product of conception) dan laksanakan fluid resuscitation. Mujur ia reversible dan stabil selepas hampir sejam . Senior Medical Officer yang sedang buat pembedahan terpaksa bergegas untuk bantu. Oh ya, dan PESAKIT ABC selamat diperiksa oleh doktor perempuan, kerana sangkanya ‘aurat terjaga’. Doktor perempuan itu lebih berpengalaman dan lebih berhak attend kes PESAKIT XYZ berbanding saya.

Mari kita buat autopsy, bedah situasi yang sebenar ini: PESAKIT ABC vs PESAKIT XYZ.

PESAKIT XYZ (sedang keguguran) auratnya telah dilihat oleh doktor lelaki (saya) dalam proses rawatan hanya untuk membolehkan PESAKIT ABC terjaga auratnya (err, nanti kita define aurat). Pada asalnya, dia dirawat oleh doktor wanita, tapi kerana sikap pesakit ABC, maka keadaan berubah dan doktor bertukar. 
Saya bukannya arif dalam bab ini, dan kuasa tuhan menentukan dosa pahala. Terkesan dengan kata-kata Dr Harlina, setiap PESAKIT adalah GURU, dan ia amat benar sekali. Jadi anda rasa, apakah ada ganjaran yang untuk setiap point ini:

1) PESAKIT XYZ dilihat auratnya oleh lelaki (terpaksa), untuk membolehkan PESAKIT ABC dilihat oleh doktor perempuan. Saya yakin amat besar pengorbanan dan pahala pesakit XYZ demi maruah pesakit ABC!

2) Doktor lelaki itu beroleh ilmu/pengetahuan yang sangat KRITIKAL, yang kemudiannya digunakan untuk menyelamatkan 5-6 orang pesakit lain lagi dalam tempoh 4 bulan saja. Alangkah, tanam benih dan pokok itu ditumpang oleh semut pun dapat pahala jariah. Kalau begini, terpaksa aurat dilihat, dan akhirnya dapat menyelamatkan NYAWA manusia lain,huhu, Allah saja membalasnya. Bahkan dia guru terbaik saya. Pensyarah saya, dibayar untuk mengajar teori. Tapi PESAKIT XYZ, apakah pengorbanannya? Pensyarah saya ajar, saya 'blurr' (merawat pesakit bukan buat kek, boleh belajar dalam video). PESAKIT XYZ ajar, saya sangat yakin dapat berdepan kes-kes macam tu seorang diri.

3) Aurat PESAKIT XYZ dilihat oleh doktor lelaki. Berdosa kah? Apatah lagi dalam kes darurat yang hampir menyebabkan dia mati. Apatah lagi dengan itu ia dapat memberi pengajaran berguna sampai mati kepada doktor itu. Di jabatan kecemasan, doktor itu berjaya selamatkan seorang perempuan kes hampir serupa berkat ‘pengajaran’ yang diterima dari PESAKIT XYZ. Dapat pahala seorang doktor tanpa perlu jadi doktor, mustahil kah?

PESAKIT ABC dan SUAMINYA pula rasa gembira, berasa telah melakukan pengorbanan dan jihad menegakkan syariat. Mari kita lihat.
1) Dia diperiksa Doktor Perempuan. Err, satu perkara yang kita lupa (Ustaz-ustaz tolong betulkan)
- Aurat wanita dengan wanita muslim lain : pusat hingga lutut.
- Aurat wanita dengan wanita non-muslim lain: Sama seperti wanita dengan lelaki, tetapi ada pendapat yang mengatakan pusat hingga lutut juga.
- Kesimpulan: Apa-apapun pendapat dipegang, kemaluan tetap AURAT (kecuali kalau kemaluan itu letaknya atas pusat atau bawah lutut) walaupun sesama wanita!
Jadi, adakah auratnya terjaga? Tentu lah tidak. Dapat pahala? Hmm, auratnya dilihat juga. Perlu perbincangan terperinci ni… wallahualam.

Tetapi PESAKIT ABC jadi guru juga kepada doktor perempuan itu. At least dapat pahala lah kan? Hmm..Mari kita rephrase. Susah nak cakap, dapat pahala atau tak point (1) di atas. Bagaimana dengan ini.

2) PESAKIT ABC diperiksa oleh doktor perempuan dan menyangka auratnya terjaga, dan (at the expense of) menyebabkan wanita lain pula terpaksa dilihat oleh doktor lelaki.

3) PESAKIT ABC diperiksa oleh doktor perempuan dan menyangka auratnya terjaga, dan (at the expense of) menyebabkan wanita lain pula terpaksa dilihat oleh doktor lelaki. Lebih malang lagi, wanita lain itu juga hampir kehilangan nyawanya hanya memenuhi kehendak PESAKIT ABC ini.

• Dalam kes ini, pemeriksaan yang mungkin dibuat oleh doktor lelaki terhadap pesakit ABC tidak sampai 5 saat…tetapi dalam kes pesakit XYZ, pemeriksaan dan rawatan berlangsung hampir 20 minit, dengan pelbagai instrument yang digunakan. Alangkah baiknya jika pemeriksaan sebegitu dilaksanakan oleh doktor wanita. Mujur juga Senior Medical Officer yang sedang lakukan pembedahan, pembedahan itu lancar. Kalau complicated, tinggal saya terkial-kial tangani kes itu...wallahualam.

Pendek cerita, ya, Tahniah PESAKIT ABC dan SUAMI dapat pertahankan ‘maruah’, dan menyebabkan wanita lain pula tidak dapat, dan hampir terbunuh. Ini kalau tak dipanggil selfish, kita panggil jual ikan lah. Dan kes sebegini bukan terpencil dan bahkan banyak berlaku.

Generasi pesakit seperti PESAKIT ABC dan SUAMINYA inilah yang sedang dibentuk oleh para ‘agamawan’ dengan pendekatannya yang tidak menyeluruh dan tiada kefahaman. Kenapa? Perhatikan pandangan doktor dan agamawan dalam isu ini.

1) Kata USTAZ dan DOKTOR:-- Pihak kerajaan, hospital, dan doktor, dan semua masyarakat perlu ambil langkah yang proaktif untuk menambah jumlah doktor wanita dalam bidang O&G supaya kita ada sistem kesihatan yang lengkap dan mampu berfungsi dengan meletakkan doktor wanita sahaja di bilik bersalin, dan bidang-bidang yang seumpamanya. Tambahkan doktor wanita, galakkan mereka.

2) Kata USTAZ dan DOKTOR lagi:-- Para wanita dan suami perlu tahu mereka mereka berhak atas autonomi dan privasi mereka. Mohon dengan baik dengan pihak hospital, dan hospital akan sedaya upaya penuhi. Mereka juga perlu berusah sehabis mungkin berusaha mengelakkannya, misalnya kumpul duit ke klinik swasta, dan sebagainya.

3) Kata DOKTOR sahaja: -- Dalam keadaan sistem kesihatan kita yang terdesak, terhad, serba kekurangan serta kadar kelahiran yang sangat tinggi, tidak seperti yang dinikmati negara maju seperti UK (dan Scotland)…dan selagi point 1 tidak tercapai, dan point 2 tidak dapat dipenuhi atas faktor-faktor yang mendesak, para wanita dan suami perlulah bersikap toleransi, memahami, dan mengutamakan yang utama. Permudahkan doktor laksanakan tugas. Point 1 dan 2 perlu banyak cabaran untuk terlaksana 100% dan bersikap rasional lah.

Point 3 ni lah yang banyak ustaz tertinggal dan ditinggalkan. Bahkan kata para USTAZ: 
‘biar mati syahid, tak apa, asal dapat!’
‘kena berkorban apa saja, yang penting dapat doktor perempuan’
‘biar apa pun terjadi, itu hak kita!’ dan sebagainya yang senada. 
Hairan kah, masyarakat yang mendengarnya menjadi PESAKIT ABC itu?

Majoriti doktor setuju dengan majoriti pandangan ustaz. Tapi point ketiga itu SAMA crucial dengan point 1 dan 2...bahkan komplikasinya boleh jadi fatal. Kerana itu saya beranggapan, ustaz ni bukan setakat cakap 'HALAL-HARAM!'. Kalau itu, maka tak hairan Kassim Ahmad melihat mereka sebagai manifestasi 'kepaderian'. Ahli agama dalam Islam bukan kepaderian, tetapi mendidik masyarakat juga, (itu lah tujuannya 'point 3' itu). Point 1 dan 2 hanya mengarah masyarakat itu ini, point 3 mendidk sikap yang betul. 

Ah.
Kata mereka lagi, ‘doktor lelaki bereksperimen’. 
Kata doktor. ‘pesakit adalah guru kami’. 

Either way, saya tak terkejut kalau mereka dapat pahala yang sangat BESAR, pahala menyelamatkan pesakit, pahala doktor, (dan bukannya pahala/dosa mangsa eksperimen) sekalipun mereka tak buat apa-apa, berkat ‘pengajaran’ dan ‘bantuan’ yang diberi kepada para doktor. Dapat doktor perempuan untuk diri sendiri, habis di situ. Tapi ibu-ibu yang mungkin tak bernasib baik, telah berbakti kepada ribuan yang lain. (Tapi ada yang tak bernasib baik tu, mulanya, memohon ampun dan redha… tapi setelah mendengar kata-kata sesetengah ‘pihak’, terus jadi sedih, menangis, dan marah-marah pada doktor yang menyelamatkan mereka. Terus tak redha. Hilang habis keberkatannya). Apa-apapun, itu aturan tuhan, wallahualam, jika pandangan ini ada silapnya.

* Kata seorang ustazah, kelahiran perlulah berkat, supaya anak yang lahir itu soleh-solehah. Antaranya memastikan, tak kira apa, agar 'aurat' (err, definisi aurat?) terjaga. Agaknya kelahiran bayi PESAKIT ABC itu berkat ke?
* Ustaz/agamawan ni, maaflah, bukan merujuk semua. Tapi segelintir kecil. Saya pernah tulis respon balas kepada seorang ustazah/kolumnis Solusi dan saya hormat dia kerana terima dengan terbuka, itu cth ahli agama yang saya respect... Saya mohon maaf untuk semua ustaz dan ustazah yang sebenarnya banyak membantu doktor. Golongan kecil saja ni, maaf ya.
*Harapnya ni tulisan terakhir tentang ini, banyak benda lain nak tulis tapi tergendala. ahah.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Popular Posts