Hebat bukan, dua musibah/bencana yang terkena pada kita sekarang ini dikisahkan dalam satu surah yang sama..? Itu baharu benar-benar kool!
Baiklah. Cuba anda buka al-Quran dan buka surah ke enam puluh tujuh. Oh sebelum itu pastikan anda berwudhu' dahulu tahu...?
Ha, sekarang surah al-Mulk sudah berada di hadapan mata anda.
Ok sekarang anda lihat ayat yang kesembilan belas. Apa firman Allah?
"Tidakkah mereka memerhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain yang Maha Pengasih. Sungguh, Dia Maha Melihat segala sesuatu."
[al-Mulk, 67:19]
Ok Inche gabbana. Apa kena-mengena ayat ini dengan MH370..?
Apa kena-mengena..? Apa kena-mengena anda bertanya..? Semuanyalah kena-mengena! Anda yang nak kena ni!
Allah berfirman di dalam ayat kesembilanbelas itu, betapa burung-burung yang berterbangan di langit itu adalah dengan izin dan kekuasaanNya. Allahlah yang menahan sekalian unggas di udara, sehingga membolehkan mereka terbang tinggi membelah awan.
Nah, bukankah kapal terbang itu amat sinonim sekali dengan burung?
Tidakkah kita memerhatikan, betapa sekalian kapal terbang yang meluncur laju di langit biru, membelah gerombolan awan yang menggebu, adalah kerana Allah jua yang menahannya? Tidakkah kita sedar dan mengaku betapa besi-besi yang berterbangan di udara itu tidak lain hanyalah dengan izin dan kekuasaanNya...??
Allah Allah!
Daripada ayat ini Allah mahu kita sedar dan tahu, betapa hebatnya manusia, hebat lagi Allah itu! Betapa tingginya ilmu dan canggihnya teknologi manusia, tinggi lagi ilmu dan hebat lagi kekuasaan Allah Ta'ala!
Mungkin, hanya mungkin, tragedi MH370 yang menimpa kita ini adalah peringatan dan amaran daripada Allah, bahawa sebagai makhlukNya yang bernama manusia, kita perlu sedar bahawa akhirnya kita hanyalah hambaNya yang lemah dan hina. Mungkin, hanya mungkin, insiden MH370 itu adalah ketukan kuat dan tamparan hebat kepada jiwa dan hati kita, bahawa sesungguhnya selama ini kita amat angkuh dan sombong dengan kemewahan dan pencapaian duniawi kita.
Tidak mustahil bukan!
Kini lihat pula ayat yang terakhir dalam surah al-Mulk itu. Baca perlahan-lahan dan cuba tadabburinya dengan penuh iman.
"Katakanlah, 'Terangkanlah kepadaku, jika sumber airmu menjadi kering, maka siapakah yang akan mendatangkan air yang mengalir bagimu?"
[al-Mulk, 67:30]
Allah Allah!
Allah baharu sahaja uji kita dengan catuan air, kita sudah menggelabah puyuh. Allah baharu sahaja jentik kita dengan kemarau yang tidaklah seteruk mana, kita sudah meroyan meraban. Dan Allah baharu sahaja usik kita dengan hujan yang tak kunjung tiba, kita sudah resah gelisah seolah-olah tiada lagi hari esok untuk kita.
Mungkin selama ini kita jarang sekali mensyukuri nikmat Allah yang bernama air itu. Seorang mandi tapi seperti mahu memandikan anak gajah. Berwudhu' seolah-seolah mandi wajib. Basuh kereta macam cuci kereta kebal. Siram bunga macamlah taman kita itu sebesar hutan lintang Khatulistiwa!
Suatu hari Nabi SAW melintasi Saad r.a. yang sedang berwudhu'. Lantas baginda menegur Saad.
"Mengapa engkau berlebih-lebihan seperti ini wahai Saad?"
Lantas Saad bertanya, "Adakah dalam berwudhu' juga ada istilah berlebih-lebihan?"
"Benar, kendatipon engkau berada di dalam sungai yang mengalir." - Riwayat Imam Ahmad
Bayangkan! Meski berwudhu' dengan air sungai yang mengalir deras itu sekalipon, kita dianjurkan untuk berjimat-cermat! Apatah lagi dalam kehidupan kita sehari-hari!
Nah, Allah lantas menempelak kita, apabila bekalan air kita dipotong, apabila air kita dicatu, apabila empangan-empangan kita mulai surut airnya, tatkala awan-awan merajuk tidak mahu menurunkan hujan, kepada siapa kita bergantung harap? Kepada siapa kita berdoa? Dan kepada siapa kita meminta??
Sekarang kita tahu tinggi rendahnya langit. Sekarang baru kita sedar betapa lemahnya dan kerdilnya kita. Dan sekarang baru kita terpukul, betapa hebat dan berkuasanya Allah!
Moga Allah turunkan hujan keampunan, untuk menghidupkan semula tanah jiwa-jiwa kita yang sudah terlalu lama gersang. [Kredit]
Oh sebelum saya terlupa. Rasa-rasa andalah, mengapa kedua-dua ayat ini kita jumpa sekaligus di dalam surah al-Mulk? Macam tahu-tahu sahaja mahu beri kita penampar Makcik Hidayah yang percuma. Adeh.
Bagi menambah perisa pada lauk yang sudah cukup pedas, dan garam pada luka yang sudah berdarah, hayati pula ayat ini:
"...Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang labih baik amalnya..."
[al-Mulk, 67:2]
Ya, dalam surah yang sama; surah al-Mulk. Waduh, terasa seperti ditampar kuat seratus lapan puluh darjah bukan...?
Ketahuilah, tiada kebetulan di dalam hidup ini. Apatah lagi kebetulan di dalam al-Quran, kalam Tuhan yang agung itu.
Mungkin rahsianya terletak pada makna al-Mulk itu sendiri; kerajaan. Ya, kerajaan Allah yang Maha Agung dan Hebat itu.
Untuk memberitahu kita bahawa selama-lamanya kita hanyalah seorang rakyat yang marhaen lagi hina, di dalam kerajaan Allah yang Maha Luas, Hebat dan tiada tandingan itu.
Sedangkan mahu mencari sebuah kapal terbang pon kita tercungap-cungap... Sedangkan baharu diuji dengan kemarau yang sedikit ini pon kita dah terkulat-kulat...
Lantas siapa kita untuk berlaku bongkak dan sombong...?
0 comments:
Post a Comment