Pages

Wednesday, February 12, 2014

Ahli IKRAM & Kesihatan Mental

Warga sekitar Bandar Baru Bangi masih terkesan dengan peristiwa seorang bapa yang mencederakan anak-anaknya sehingga seorang daripadanya meninggal dunia dua minggu lepas.

Saya tidak ingin mengulas peristiwa di atas.

Saya hanya ingin meningkatkan tahap kesedaran di kalangan warga Ikram tentang masalah mental dan kesihatan mental di kalangan ahli Ikram dan juga anggota masyarakat.

Masalah mental dan penyakit mental bukanlah perkara baru di dalam dunia perubatan dan penyakit. Namun ia sering disalah anggap dan dinafikan oleh penghidapnya atau ahli keluarganya sendiri. Mereka merasa sesuatu yang sangat mengaibkan atau memalukan sekiranya diketahui mempunyai masalah mental. Apatah lagi jika mereka keluarga berpengaruh, terpelajar atau dianggap orang baik2 di dalam masyarakat setempat. Penyakit mental juga dikaitkan dengan gila dan lain-lain yang merupakan stigma di dalam masyarakat.

Sebagai pengamal kesihatan mental yang sangat sering berhadapan perkara ini, saya ingin menasihatkan warga Ikram yang dikenali sebagai golongan terpelajar dan sering berinteraksi dan terkehadapan di dalam membantu masyarakat untuk memahami dan berupaya mengenalpasti tanda-tanda masalah mental serta segera mendapatkan bantuan dan rawatan.

Pesakit yang lewat mendapatkan rawatan boleh hilang kawalan diri dan kewarasan yang menyebabkan mereka berisiko melakukan perkara di luar batas kemanusiaan.

Siapa yang berisiko mendapat penyakit mental? Sebenarnya sesiapa sahaja boleh mendapat penyakit mental sebagaimana sesiapa sahaja boleh mendapat penyakit jantung dan kencing manis.

Walau bagaimanapun faktor risiko penyakit mental ialah;
1. Mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit mental
2. Tinggal di bandar dan berhadapan dengan tekanan hidup yang tinggi
3. Lelaki yang baru dipecat atau dibuang kerja (jika wanita risikonya lebih rendah)
4. Kehilangan akibat perceraian atau kematian seseorang yang sangat rapat atau tempat bergantung harap
5. Menganggur/tak bekerja
6. Keluarga yang tidak berfungsi (dysfunctional family)
7. Ahli keluarga (ibubapa dll) yang sering melepaskan perasaan secara negatif (high expressive emotion) seperti sering bertengkar, sering menjerit, sering memaki hamun / menyumpah seranah, sering menyindir anak, kerap berleter/membebel dll.
8. Mangsa penderaan atau mengalami penderaan misalnya penderaan seksual (rogol, liwat, keganasan seksual), penderaan fizikal (pukul, simbah asid, rotan, pengabaian dll), penderaan mental dan emosi (ugutan, dikurung dalam rumah, tidak dibenarkan keluar dll)

Tanda-tanda penyakit mental;
1. Perubahan personaliti secara mendadak, self esteem yang rendah
2. Mengasingkan diri / mengurung diri / enggan bercakap
3. Kemurungan dan/ atau kegelisahan
4. Tingkahlaku pelik / kata2 yang pelik / cepat marah/ panas baran/sering menangis/bercakap sendiri / niat bunuh diri
5. Tidak mahu bersekolah/meneruskan pengajian/bekerja
6. Hilang selera makan / berat badan turun mendadak
7. Selera makan bertambah / berat badan naik mendadak
8. Masalah tidur - sukar tidur atau terlalu banyak tidur
9. Menghabiskan sebahagian besar masa dengan komputer/tablet/internet tanpa produktiviti
10. Paranoid - takut sesuatu, tidak percayakan sesiapapun
11. Halusinasi - mendengar suara2, nampak sesuatu yang tidak dilihat orang lain
12. Delusi - sangkaan2 yang tidak berasas tetapi mempercayainya bulat2

Sila dapatkan bantuan dengan pergi ke hospital bertemu pakar psikiatri, psikologis klinikal dll selain bertemu ustaz kerana mungkin masalah rasukan dsb.

Penyakit ini boleh dipulihkan dengan bantuan Allah swt. Ikhtiar perubatan moden jangan diremehkan. Mudah-mudahan Allah meredhai segala usaha kerdil kita.

Wassalam,
Azlina

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Popular Posts