"Setiap anak dilahirkan atas fitrah. Ibubapanyalah yang
meyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya. (Hadis Riwayat
Bukhari)"
Perkembangan anak-anak cenderung
menurut fitrah azalinya. Perkembangan ini perlu dibimbing, dipantau dan disalurkan
pada tempatnya. Ada masanya mereka dibelai, ada masanya mereka juga
perlu didedahkan kepada disiplin terutamanya setelah mereka mencapai
tahap mumaiyiz.
Latih dan perkenalkan disiplin secara bertahap
mengikut pemahaman anak-anak. Penyampaian itu perlu dipermudahkan tanpa
menggunakan kaedah ugut atau ancaman secara tak langsung.
Dalam
hidup, setiap masa ada disiplin yang perlu dipatuhi. Disiplin itu
bukanlah sekadar peraturan atau undang-undang ketat yang diterap secara
kekerasan. Disiplin lebih bersifat amalan dan peraturan hidup yang
tersusun dan terorganisasi, menjadikan seseorang individu itu kemas
dalam penampilan, pemikiran dan perlakuannya.
Pertama
Solat
merupakan pendekatan terbaik bagi membina disiplin diri. Melaksanakan
tuntutan solat membuktikan kita sedar adanya keterikatan antara kita
sebagai hamba dengan Pencipta. Ada tanggungjawab yang perlu
dilaksanakan. Justeru, mendidik anak bersolat terletak atas kewajipan
mutlak ibu bapa. Pada usia tujuh tahun anak-anak perlu disuruh bersolat
dan pada usia sepuluh tahun, anak-anak itu boleh dihukum jika tidak
bersolat. Jika dihayati mafhum hadis ini, kenapa umur 7 tahun yang
dinyatakan? bukan 5, bukan 6. Secara purata, anak-anak mencapai
peringkat mumaiyiz pada usia 7 tahun. Tempoh yang diberikan untuk
mendidik anak-anak melaksanakan solat ialah selama tiga tahun. Setelah
sempurna didikan itu, dan anak-anak masih meninggalkan solat, barulah
dibolehkan untuk menjatuhkan hukuman atas mereka. Mulakanlah didikan ini
dengan mengajak mereka solat bersama-sama. Berjemaah di rumah atau
dibawa ke surau untuk sama-sama berjemaah. Perdengarkan bacaan dalam
solat dan minta anak-anak mengikutnya. Jangan lupa ganjaran bagi mereka
yang berjaya melaksanakan solat (pada peringkat awal sahaja).
Perkara
lazim yang berlaku dalam masyarakat kita, tempoh tiga tahun yang
diberikan untuk mendidik anak-anak solat itu tidak digunakan dengan
sebaik-baiknya. Juga mereka gagal menghukum anak-anak yang tidak solat
pada usia 10 tahun. Lebih parah, dibiarkan sahaja anak-anak itu tanpa
teguran. Sebenarnya pada peringkat usia 10 tahun, jiwa anak-anak masih
lembut dan boleh dilentur. Mereka jarang melawan jika ditegur atau
dihukum. Sekiranya dibiarkan sehingga peringkat pertengahan remaja, baru
hendak menghukum atau menegur, anak-anak ini sudah pandai memberontak
atau melawan. Maka, tersandarlah ibu bapa keletihan kerana penat menegur
anak-anak yang enggan solat. Kesilapannya terletak pada ibu bapa itu
sebenarnya, kerana tidak menghargai tempoh masa fitrah yang telah
ditetapkan Allah dalam melentur jiwa anak.
Maka, para ibu bapa
sekalian, masa yang berlalu tidak akan kembali lagi, selagi masih
berupaya membentuk generasi soleh wa musleh, teruskan usaha antum,
Jangan berputus asa..Anak-anak yang jinak jiwanya dengan hukum-hukum
Allah akan lembut juga bila bermuamalah dengan manusia.
Kedua
Ajarlah
anak-anak membersihkan persekitaran bilik mandi dan tandas di rumah.
Boleh dibuat jadual tugasan mingguan giliran bagi anak-anak untuk
membersihkan tandas dan bilik mandi. Aktiviti ini sebenarnya melentur
sikap ego anak-anak juga menanam sifat tawaduk. Walaupun ada bibik di
rumah, anak-anak patut difahamkan bahawa tanggungjawab menjaga kamar
persendirian seperti tandas dan bilik mandi adalah tugas yang wajib
dilaksanakan oleh mereka. Mereka juga seharusnya difahamkan bahawa
kebersihan kamar mandi dan tandas itu melambangkan nilai peribadi dan
disiplin diri.
Masih segar dalam ingatan saya, sewaktu kami
adik-beradik di peringkat sekolah rendah lagi, abah telah melatih kami
mengurus kebersihan persekitaran rumah. Pagi hujung minggu biasanya
adalah masa 'gotong-royong' keluarga yang akan berakhir dengan hidangan
makan tengah hari yang istimewa. Abah mengajar kami bagaimana
menggunakan berus tandas, membersihkan lantai bilik mandi dan
menghilangkan habuk di almari buku. Juga, membantu mama menghantar
plastik sampah ke tong sampah di luar rumah. Memang rasa puas bila rumah
bersih atas daya usaha bersama.
Ketiga
Anak-anak
juga perlu diajar menghargai masa. Masa makan, masa tidur, masa bangun
dari tidur, masa solat, masa beriadah dan sebagainya perlu ada
penetapan. Bukannya membiarkan anak-anak itu mengikut aturan masa mereka
sendiri. Masa makan contohnya, adalah masa bersama-sama keluarga. Makan
bersama-sama boleh mengeratkan kemesraan dan menjadi wadah untuk ibu
bapa menyelami perasaan anak-anak.
Keempat
Pada
peringkat anak-anak sudah mumaiyiz (antara 6-7 tahun), anak-anak boleh
diajar mengemaskan tempat tidur setiap pagi sebelum ke meja makan untuk
bersarapan. Cadar katil ditegangkan mengikut kemampuan, bantal disusun
di kepala katil. Selimut dilipat dan diletakkan di tempatnya. Latihan
ini penting supaya anak-anak terbiasa mengurus kawasan persendiriannya
dengan baik. Permulaannya ibu bapa boleh membantu dan melakukan perkara
tersebut bersama anak-anak. Apabila mereka sudah terbiasa sekali-sekala
ibu bapa bolehlah menjalankan 'inspection' kekemasan bilik. Sekiranya
anak-anak ini tidak pernah dilatih mengemas tempat tidur sendiri, atau
sekadar melepaskan tugasan itu kepada bibik di rumah, anak-anak tidak
akan belajar erti tanggungjawab. Bilik anak-anak yang kotor dan
bersepah-sepah sebenarnya melambangkan peribadi yang gersang dari
disiplin. Bukti kegagalan ibu bapa mendisiplinkan anak-anak! Jadi,
sebelum anda melenting memarahi anak-anak remaja yang langsung tidak
ambil peduli hal-ehwal kebersihan rumah, cuba introspeksi diri anda,
pernahkah anda luangkan masa mendidik mereka erti kebersihan dan
kekemasan semasa peringkat umur mereka sepatutnya dilatih?
'Didiklah
anak-anak kamu dengan tiga hal: mencintai Nabi, mencintai ahli baitnya,
dan mencintai al-Quran..(Hadis Riwayat At-Thabrani)'
Monday, January 27, 2014
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment