Pages

Tuesday, April 15, 2014

AIB RUMAHTANGGA

“Masak nasi pun isteri tak pandai, apatah lagi nak suruh masak lauk pauk…alamak dapur di rumah tu tak berasaplah."

"Kalau hujung minggu nak ajak keluar memang susah, suami saya tu matahari dah tinggi baru nak bangkit tidur."

Dialog-dialog seperti di atas sering kedengaran di sana sini. Paling tidak pun dari cerita-cerita di kaca televisyen. Tapi bukankah kelemahan dan keaiban pasangan kita itu juga adalah rahsia dalam rumah tangga yang perlu dijaga? Setiap manusia ada kelemahan. Kitalah pasangan yang akan saling melengkapkan kelemahan dan kelompongan itu menuju kesempurnaan hingga kita sekeluarga meraih syurga-Nya.

Menjaga aib rumahtangga adalah wajib. Menyebarkannya adalah berdosa bahkan boleh meruntuhkan rumahtangga. Jika terpaksa juga mengemukakan kepada sesiapa yang boleh memberi bantuan atau tunjuk ajar, maka hendaklah pertama dipastikan kelayakan penasihat tersebut, kedua dibuat dalam media terkawal seperti email peribadi, telefon dan seumpamanya dan ketiga mengemukakan noktah2 yang berkaitan sahaja.

Dewasa ini ramai di kalangan kita gemar meng ‘up date’ status di halaman sosial baru seperti di facebook, twitter, instagram dan seumpamanya. Apa yang sangat dikesali ialah apabila mereka menyatakan dan meluahkan masalah-masalah peribadi di halaman sosial ini. Termasuklah ketidakpuasan hati terhadap pasangan masing-masing. Walaupun sebahagiannya tidak secara lansung mengaibkan pasangan, tetapi pembaca dapat ‘membaca’ apa yang tersirat, dan boleh menganggap sesuatu telah berlaku di antara pasangan tersebut.

Tidak semua perkara sesuai untuk kita ‘update’di laman sosial, terutama mengenai masalah rumahtangga. Walaupun untuk berkongsi rasa. Lain orang lain cara penerimaannya.
Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui laman sosial. Bukan setakat berkonsi masalah rumahtangga di facebook tetapi lansung bertengkar antara suami isteri.
Padahal Islam dengan tegasnya memerintahkan kita agar sentiasa menutup aib orang lain, terutamanya aib pasangan kita, suami atau isteri. 


 ‘Barang siapa menutup aib seseorang islam, maka Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan akhirat’. Hadis riwayat Al Tarmidzi.

Julie Rosieta
SU Wanita IKRAM WP

Tuesday, April 8, 2014

Laksam kegemaranku.





Resepi laksam (12 gulung)
3 cawan tepung beras
1/2 cawan tpg gandum
sedikit garam
4 3/4 cawan air suam
3 sudu besar minyak masak
campur semua bahan2 diatas sehingga sebati...ketepikan sebentar
* panaskan periuk kukusan..sediakan loyang atau penutup periuk aluminium yang 
disapu dengan minyak masak
* masukkan bancuhan tpg tadi dlm loyang atau tudung periuk ...jgn tebal jgn 
nipis...agak2 la ye..kalau saya guna 3 senduk setiap adunan ...kukus dlm 5 minit..
*angkat loyang/penutup periuk dan alirkan bawah dgn air paip supaya sejuk..
* guna hujung sudu atau bende yang boleh cungkil laksam ni kluar dr loyang...terus gulung dr loyang tersebut hingga habis..
*kukus lagi adunan laksam tadi shingga habis..
kuah laksam 6 orang makan
3 ekor ikan kembung dibuang perut dan direbus hingga masak air rebusan paras ikan je ..air rebusan ikan jgn buang..digunakan tuk kuah nanti
2 biji bwang sederhana besar
2 ulas bawang putih.. 
sedikit je halia
1/2 sdu besar lada hitam kemudian ditumbuk halus
sedikit belacan
1/2 periuk santan pekat (agak2 6 org mkn + tambahan)
garam , gula
2 keping asam gelugur
* ikan yang direbus..diambil isinya sahaja dan air rebusan 
* bawang besar dan bawang putih serta halia dipotong kecik, belacan dan di kisar 
bersama2 dgn isi ikan tadi serta masukkan sedikit air rebusan dlm blender supaya 
senang kisaran..
* masukkan bahan kisar dlm periuk yang ada santan tadi ..masukkan baki air rebusan 
ikan 
* kemudian masukkan lada hitam yang ditumbuk halus,asam keping, garam dan gula
* masak hingga mendidih..dgn api sederhana
ulaman
kacang panjang
timun
tauge
kobis - semuanya dihiris halus..
belacan bakar- jika suka masukkan dlm laksam

sambal lada
sedikit belacan
lada merah
cili api merah
garam sikit _semuanya kisar/tumbuk halus

Friday, March 14, 2014

Menghadapi Jerebu

Salam ikhwah akhawat, di dalam mendoakan juga kestabilan negara dan juga keselamtan penumpang MH 370, jangan kita lupa juga ya langkah2 yang perlu diambil untuk menjaga kesihatan diri sewaktu berhadapan dengan jerebu.
Anekdot juga tidak ada liputan menyeluruh berkenaan jerebu ini walaupun ana rasa tahapnya begitu kritikal sekali.

44:10
Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat). (Ad-Dukhan; Ayat:10)

Sungguh petanda-petanda kiamat itu begitu dekat sekali dengan kita (jerebu, kemarau, kematian orang2 soleh, fitnah berleluasa) adakah kita bersedia? huhuh..


Apa yang perlu kita tahu tentang jerebu ini adalah : kualiti udara yang tidak baik dengan kehadiran partikel di atmosfera. Ia disebabkan oleh pencampuran konsentrasi bahan pencemar udara yang tinggi dan menyerap sinaran matahari di atmosfera. Di antara bahan utama herebu termasuklah bahan partikel yang berukuran kurang dari 10mm/m3 diameter, ozon, gas karbon monoksida, gas nitrogen dioksida dan sulfur dioksida.

Banyak kesan jangka masa panjang terhadap penceramaran udara ini terutama dari sudut kesihatan paru-paru. Kajian di US ada menunjukkan selama 8 tahun terdedah kepada pencemaran udara akan boleh mengurangkan keefektifan paru-paru bagi kanak-kanak. 

Oleh itu, antara langkah penjagaan yang boleh kita lakukan adalah:

a) Kurangkan aktiviti di luar rumah 
b) banyakkan minum air sekurang-kurangnya 2 liter sehari
c) Selalu membasuh tangan dan muka selepas melakukan aktiviti luar
d)Dapatkan nasihat perubatan jika terdapat tanda-tanda jerebu seperti sukar bernafas, gatal tekak, gatal pada mata, jangkitan pada bahagian saluran pernafasan serta gatal kulit.
e) Gunakan topeng pernafasan apabila tahap kualiti udara tidak sihat
f) memastikan kawasan persekitan tempat kerja dan rumah bersih, agar tidak bertambah kesan-kesan habuk disedut oleh paru-paru kita.
g) Sekiranya tergolong di kalangan berisiko tinggi ( berumur, asthma, penyakit alahan) sediakan bekalan ubat secukupnya.


Ini ana adaptasi dari pekeliling uitm yang terkini.



Maklumat terkini IPU boleh dirujuk di sini http://www.doe.gov.my/apims ( ana try buka tapi slow)

Untuk ikhwah akhwat yang akan melaksanakan aktiviti luar di hujung minggu ini, jika tahap jerebu masih tinggi, harap mengambil langkah berjaga-jaga ya. Pakai mask yang kualiti, banyakkan minum air. Jika asthma bawak ubatan yang mencukupi dan sebagainya.

 Kesihatan anda semua amat mahal untuk dakwah.

Moga Allah merahmati kita semua iAllah. Mari sama-sama kita beristighfar dan berzikir pada Allah. Banyak teguran Allah kepada kita untuk kita giatkan lagi usaha dakwah kita di akhir zaman ini...

Wassalam

ukhtikum fillah
Aisyahz

ANTARA AL MULK, MH370 DAN AWAN YANG MERAJUK

Anda tahu ayat dan surah mana yang ada bercerita tentang MH370? Dan kali ini ia bukan konspirasi apatah lagi teori-teori budak-budak sekolah tak gosok gigi. Ia benar-benar dalil daripada Quran yang bisa menceritakan apa yang terjadi. Bukan setakat itu, ia juga ada bercerita tentang musibah kemarau yang sedang kita hadapi sekarang ini.

Hebat bukan, dua musibah/bencana yang terkena pada kita sekarang ini dikisahkan dalam satu surah yang sama..? Itu baharu benar-benar kool!

Baiklah. Cuba anda buka al-Quran dan buka surah ke enam puluh tujuh. Oh sebelum itu pastikan anda berwudhu' dahulu tahu...?

Ha, sekarang surah al-Mulk sudah berada di hadapan mata anda.

Ok sekarang anda lihat ayat yang kesembilan belas. Apa firman Allah?

67:19

"Tidakkah mereka memerhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain yang Maha Pengasih. Sungguh, Dia Maha Melihat segala sesuatu."

[al-Mulk, 67:19]

Ok Inche gabbana. Apa kena-mengena ayat ini dengan MH370..?

Apa kena-mengena..? Apa kena-mengena anda bertanya..? Semuanyalah kena-mengena! Anda yang nak kena ni!

Allah berfirman di dalam ayat kesembilanbelas itu, betapa burung-burung yang berterbangan di langit itu adalah dengan izin dan kekuasaanNya. Allahlah yang menahan sekalian unggas di udara, sehingga membolehkan mereka terbang tinggi membelah awan.

Nah, bukankah kapal terbang itu amat sinonim sekali dengan burung?

Tidakkah kita memerhatikan, betapa sekalian kapal terbang yang meluncur laju di langit biru, membelah gerombolan awan yang menggebu, adalah kerana Allah jua yang menahannya? Tidakkah kita sedar dan mengaku betapa besi-besi yang berterbangan di udara itu tidak lain hanyalah dengan izin dan kekuasaanNya...??

Allah Allah!

Daripada ayat ini Allah mahu kita sedar dan tahu, betapa hebatnya manusia, hebat lagi Allah itu! Betapa tingginya ilmu dan canggihnya teknologi manusia, tinggi lagi ilmu dan hebat lagi kekuasaan Allah Ta'ala!

Mungkin, hanya mungkin, tragedi MH370 yang menimpa kita ini adalah peringatan dan amaran daripada Allah, bahawa sebagai makhlukNya yang bernama manusia, kita perlu sedar bahawa akhirnya kita hanyalah hambaNya yang lemah dan hina. Mungkin, hanya mungkin, insiden MH370 itu adalah ketukan kuat dan tamparan hebat kepada jiwa dan hati kita, bahawa sesungguhnya selama ini kita amat angkuh dan sombong dengan kemewahan dan pencapaian duniawi kita.

Tidak mustahil bukan!

Kini lihat pula ayat yang terakhir dalam surah al-Mulk itu. Baca perlahan-lahan dan cuba tadabburinya dengan penuh iman.

67:30

"Katakanlah, 'Terangkanlah kepadaku, jika sumber airmu menjadi kering, maka siapakah yang akan mendatangkan air yang mengalir bagimu?"

[al-Mulk, 67:30]

Allah Allah!

Allah baharu sahaja uji kita dengan catuan air, kita sudah menggelabah puyuh. Allah baharu sahaja jentik kita dengan kemarau yang tidaklah seteruk mana, kita sudah meroyan meraban. Dan Allah baharu sahaja usik kita dengan hujan yang tak kunjung tiba, kita sudah resah gelisah seolah-olah tiada lagi hari esok untuk kita.

Mungkin selama ini kita jarang sekali mensyukuri nikmat Allah yang bernama air itu. Seorang mandi tapi seperti mahu memandikan anak gajah. Berwudhu' seolah-seolah mandi wajib. Basuh kereta macam cuci kereta kebal. Siram bunga macamlah taman kita itu sebesar hutan lintang Khatulistiwa!

Suatu hari Nabi SAW melintasi Saad r.a. yang sedang berwudhu'. Lantas baginda menegur Saad.

"Mengapa engkau berlebih-lebihan seperti ini wahai Saad?"

Lantas Saad bertanya, "Adakah dalam berwudhu' juga ada istilah berlebih-lebihan?"

"Benar, kendatipon engkau berada di dalam sungai yang mengalir." - Riwayat Imam Ahmad

Bayangkan! Meski berwudhu' dengan air sungai yang mengalir deras itu sekalipon, kita dianjurkan untuk berjimat-cermat! Apatah lagi dalam kehidupan kita sehari-hari!

Nah, Allah lantas menempelak kita, apabila bekalan air kita dipotong, apabila air kita dicatu, apabila empangan-empangan kita mulai surut airnya, tatkala awan-awan merajuk tidak mahu menurunkan hujan, kepada siapa kita bergantung harap? Kepada siapa kita berdoa? Dan kepada siapa kita meminta??

Sekarang kita tahu tinggi rendahnya langit. Sekarang baru kita sedar betapa lemahnya dan kerdilnya kita. Dan sekarang baru kita terpukul, betapa hebat dan berkuasanya Allah!

Moga Allah turunkan hujan keampunan, untuk menghidupkan semula tanah jiwa-jiwa kita yang sudah terlalu lama gersang. [Kredit]
Oh sebelum saya terlupa. Rasa-rasa andalah, mengapa kedua-dua ayat ini kita jumpa sekaligus di dalam surah al-Mulk? Macam tahu-tahu sahaja mahu beri kita penampar Makcik Hidayah yang percuma. Adeh.

Bagi menambah perisa pada lauk yang sudah cukup pedas, dan garam pada luka yang sudah berdarah, hayati pula ayat ini:


67:2

"...Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang labih baik amalnya..."

[al-Mulk, 67:2]

Ya, dalam surah yang sama; surah al-Mulk. Waduh, terasa seperti ditampar kuat seratus lapan puluh darjah bukan...?

Ketahuilah, tiada kebetulan di dalam hidup ini. Apatah lagi kebetulan di dalam al-Quran, kalam Tuhan yang agung itu.

Mungkin rahsianya terletak pada makna al-Mulk itu sendiri; kerajaan. Ya, kerajaan Allah yang Maha Agung dan Hebat itu.

Untuk memberitahu kita bahawa selama-lamanya kita hanyalah seorang rakyat yang marhaen lagi hina, di dalam kerajaan Allah yang Maha Luas, Hebat dan tiada tandingan itu.

Sedangkan mahu mencari sebuah kapal terbang pon kita tercungap-cungap... Sedangkan baharu diuji dengan kemarau yang sedikit ini pon kita dah terkulat-kulat...

Lantas siapa kita untuk berlaku bongkak dan sombong...?

Monday, February 24, 2014

Aurat Ketika Bersalin. 1.0

[AURAT KETIKA BERSALIN 1.0]

(Di bilik daftar masuk wad bersalin (admission room), jam 11 malam.)
PESAKIT ABC : Saya mahu doktor perempuan saja periksa.
SAYA: Ok, tapi dia sedang attend kes di wad gynae. Ambil masa sikit.
PESAKIT ABC: Tak apa. Saya lagi sanggup tunggu. Saya tak sakit pun lagi.

(Selepas 15 minit…)
PESAKIT ABC: Doktor, saya dah tunggu lama dah. Bila giliran saya. Orang lain semua dah siap dah. 
SUAMI PESAKIT ABC: Kalau terberanak di sini siapa nak jawab? Anak saya ni doktor, tahu…
SAYA: Ada rasa sakit ke?
PESAKIT ABC: Tak. Tapi tak kanlah nak tunggu sakit.
SAYA: Ya lah, tadi kata nak tunggu, doktor perempuan tu belum selesai lagi. Puan elective admission saja. Bukan nak bersalin lagi.
SUAMI PESAKIT ABC: Kalau jadi apa-apa, siapa nak jawab? Macam ni ke perangai doktor sekarang. Saya dah lama tunggu tau! Pergi lah panggil dia. Takkan doktor perempuan lain tak ada?

(Saya melaporkan kepada senior medical officer, dan dia minta saya tukar tempat dengan doktor perempuan itu (senang cerita). Alhamdulillah, kata saya, saya pun tak kuasa nak layan orang macam ni (dalam hati). )

Doktor perempuan itu sedang menangani kes PESAKIT XYZ, kes miscarriage/keguguran, terpaksa meninggalkan kes itu separuh jalan. Dalam masa tidak sampai seminit sewaktu transisi pertukaran tempat, sewaktu saya sedang naik ke tingkat 5 (wad gynae) dan doktor perempuan itu hendak ke bilik admission, PESAKIT XYZ tiba-tiba mengalami cervical shock (vasovagal) dan bleeding yang menyebabkan SHOCK (keadaan di mana tekanan darah menjadi sangat rendah dan boleh menyebabkan kematian dalam masa singkat). Saya berhempas pulas, cuba mengeluarkan POC (product of conception) dan laksanakan fluid resuscitation. Mujur ia reversible dan stabil selepas hampir sejam . Senior Medical Officer yang sedang buat pembedahan terpaksa bergegas untuk bantu. Oh ya, dan PESAKIT ABC selamat diperiksa oleh doktor perempuan, kerana sangkanya ‘aurat terjaga’. Doktor perempuan itu lebih berpengalaman dan lebih berhak attend kes PESAKIT XYZ berbanding saya.

Mari kita buat autopsy, bedah situasi yang sebenar ini: PESAKIT ABC vs PESAKIT XYZ.

PESAKIT XYZ (sedang keguguran) auratnya telah dilihat oleh doktor lelaki (saya) dalam proses rawatan hanya untuk membolehkan PESAKIT ABC terjaga auratnya (err, nanti kita define aurat). Pada asalnya, dia dirawat oleh doktor wanita, tapi kerana sikap pesakit ABC, maka keadaan berubah dan doktor bertukar. 
Saya bukannya arif dalam bab ini, dan kuasa tuhan menentukan dosa pahala. Terkesan dengan kata-kata Dr Harlina, setiap PESAKIT adalah GURU, dan ia amat benar sekali. Jadi anda rasa, apakah ada ganjaran yang untuk setiap point ini:

1) PESAKIT XYZ dilihat auratnya oleh lelaki (terpaksa), untuk membolehkan PESAKIT ABC dilihat oleh doktor perempuan. Saya yakin amat besar pengorbanan dan pahala pesakit XYZ demi maruah pesakit ABC!

2) Doktor lelaki itu beroleh ilmu/pengetahuan yang sangat KRITIKAL, yang kemudiannya digunakan untuk menyelamatkan 5-6 orang pesakit lain lagi dalam tempoh 4 bulan saja. Alangkah, tanam benih dan pokok itu ditumpang oleh semut pun dapat pahala jariah. Kalau begini, terpaksa aurat dilihat, dan akhirnya dapat menyelamatkan NYAWA manusia lain,huhu, Allah saja membalasnya. Bahkan dia guru terbaik saya. Pensyarah saya, dibayar untuk mengajar teori. Tapi PESAKIT XYZ, apakah pengorbanannya? Pensyarah saya ajar, saya 'blurr' (merawat pesakit bukan buat kek, boleh belajar dalam video). PESAKIT XYZ ajar, saya sangat yakin dapat berdepan kes-kes macam tu seorang diri.

3) Aurat PESAKIT XYZ dilihat oleh doktor lelaki. Berdosa kah? Apatah lagi dalam kes darurat yang hampir menyebabkan dia mati. Apatah lagi dengan itu ia dapat memberi pengajaran berguna sampai mati kepada doktor itu. Di jabatan kecemasan, doktor itu berjaya selamatkan seorang perempuan kes hampir serupa berkat ‘pengajaran’ yang diterima dari PESAKIT XYZ. Dapat pahala seorang doktor tanpa perlu jadi doktor, mustahil kah?

PESAKIT ABC dan SUAMINYA pula rasa gembira, berasa telah melakukan pengorbanan dan jihad menegakkan syariat. Mari kita lihat.
1) Dia diperiksa Doktor Perempuan. Err, satu perkara yang kita lupa (Ustaz-ustaz tolong betulkan)
- Aurat wanita dengan wanita muslim lain : pusat hingga lutut.
- Aurat wanita dengan wanita non-muslim lain: Sama seperti wanita dengan lelaki, tetapi ada pendapat yang mengatakan pusat hingga lutut juga.
- Kesimpulan: Apa-apapun pendapat dipegang, kemaluan tetap AURAT (kecuali kalau kemaluan itu letaknya atas pusat atau bawah lutut) walaupun sesama wanita!
Jadi, adakah auratnya terjaga? Tentu lah tidak. Dapat pahala? Hmm, auratnya dilihat juga. Perlu perbincangan terperinci ni… wallahualam.

Tetapi PESAKIT ABC jadi guru juga kepada doktor perempuan itu. At least dapat pahala lah kan? Hmm..Mari kita rephrase. Susah nak cakap, dapat pahala atau tak point (1) di atas. Bagaimana dengan ini.

2) PESAKIT ABC diperiksa oleh doktor perempuan dan menyangka auratnya terjaga, dan (at the expense of) menyebabkan wanita lain pula terpaksa dilihat oleh doktor lelaki.

3) PESAKIT ABC diperiksa oleh doktor perempuan dan menyangka auratnya terjaga, dan (at the expense of) menyebabkan wanita lain pula terpaksa dilihat oleh doktor lelaki. Lebih malang lagi, wanita lain itu juga hampir kehilangan nyawanya hanya memenuhi kehendak PESAKIT ABC ini.

• Dalam kes ini, pemeriksaan yang mungkin dibuat oleh doktor lelaki terhadap pesakit ABC tidak sampai 5 saat…tetapi dalam kes pesakit XYZ, pemeriksaan dan rawatan berlangsung hampir 20 minit, dengan pelbagai instrument yang digunakan. Alangkah baiknya jika pemeriksaan sebegitu dilaksanakan oleh doktor wanita. Mujur juga Senior Medical Officer yang sedang lakukan pembedahan, pembedahan itu lancar. Kalau complicated, tinggal saya terkial-kial tangani kes itu...wallahualam.

Pendek cerita, ya, Tahniah PESAKIT ABC dan SUAMI dapat pertahankan ‘maruah’, dan menyebabkan wanita lain pula tidak dapat, dan hampir terbunuh. Ini kalau tak dipanggil selfish, kita panggil jual ikan lah. Dan kes sebegini bukan terpencil dan bahkan banyak berlaku.

Generasi pesakit seperti PESAKIT ABC dan SUAMINYA inilah yang sedang dibentuk oleh para ‘agamawan’ dengan pendekatannya yang tidak menyeluruh dan tiada kefahaman. Kenapa? Perhatikan pandangan doktor dan agamawan dalam isu ini.

1) Kata USTAZ dan DOKTOR:-- Pihak kerajaan, hospital, dan doktor, dan semua masyarakat perlu ambil langkah yang proaktif untuk menambah jumlah doktor wanita dalam bidang O&G supaya kita ada sistem kesihatan yang lengkap dan mampu berfungsi dengan meletakkan doktor wanita sahaja di bilik bersalin, dan bidang-bidang yang seumpamanya. Tambahkan doktor wanita, galakkan mereka.

2) Kata USTAZ dan DOKTOR lagi:-- Para wanita dan suami perlu tahu mereka mereka berhak atas autonomi dan privasi mereka. Mohon dengan baik dengan pihak hospital, dan hospital akan sedaya upaya penuhi. Mereka juga perlu berusah sehabis mungkin berusaha mengelakkannya, misalnya kumpul duit ke klinik swasta, dan sebagainya.

3) Kata DOKTOR sahaja: -- Dalam keadaan sistem kesihatan kita yang terdesak, terhad, serba kekurangan serta kadar kelahiran yang sangat tinggi, tidak seperti yang dinikmati negara maju seperti UK (dan Scotland)…dan selagi point 1 tidak tercapai, dan point 2 tidak dapat dipenuhi atas faktor-faktor yang mendesak, para wanita dan suami perlulah bersikap toleransi, memahami, dan mengutamakan yang utama. Permudahkan doktor laksanakan tugas. Point 1 dan 2 perlu banyak cabaran untuk terlaksana 100% dan bersikap rasional lah.

Point 3 ni lah yang banyak ustaz tertinggal dan ditinggalkan. Bahkan kata para USTAZ: 
‘biar mati syahid, tak apa, asal dapat!’
‘kena berkorban apa saja, yang penting dapat doktor perempuan’
‘biar apa pun terjadi, itu hak kita!’ dan sebagainya yang senada. 
Hairan kah, masyarakat yang mendengarnya menjadi PESAKIT ABC itu?

Majoriti doktor setuju dengan majoriti pandangan ustaz. Tapi point ketiga itu SAMA crucial dengan point 1 dan 2...bahkan komplikasinya boleh jadi fatal. Kerana itu saya beranggapan, ustaz ni bukan setakat cakap 'HALAL-HARAM!'. Kalau itu, maka tak hairan Kassim Ahmad melihat mereka sebagai manifestasi 'kepaderian'. Ahli agama dalam Islam bukan kepaderian, tetapi mendidik masyarakat juga, (itu lah tujuannya 'point 3' itu). Point 1 dan 2 hanya mengarah masyarakat itu ini, point 3 mendidk sikap yang betul. 

Ah.
Kata mereka lagi, ‘doktor lelaki bereksperimen’. 
Kata doktor. ‘pesakit adalah guru kami’. 

Either way, saya tak terkejut kalau mereka dapat pahala yang sangat BESAR, pahala menyelamatkan pesakit, pahala doktor, (dan bukannya pahala/dosa mangsa eksperimen) sekalipun mereka tak buat apa-apa, berkat ‘pengajaran’ dan ‘bantuan’ yang diberi kepada para doktor. Dapat doktor perempuan untuk diri sendiri, habis di situ. Tapi ibu-ibu yang mungkin tak bernasib baik, telah berbakti kepada ribuan yang lain. (Tapi ada yang tak bernasib baik tu, mulanya, memohon ampun dan redha… tapi setelah mendengar kata-kata sesetengah ‘pihak’, terus jadi sedih, menangis, dan marah-marah pada doktor yang menyelamatkan mereka. Terus tak redha. Hilang habis keberkatannya). Apa-apapun, itu aturan tuhan, wallahualam, jika pandangan ini ada silapnya.

* Kata seorang ustazah, kelahiran perlulah berkat, supaya anak yang lahir itu soleh-solehah. Antaranya memastikan, tak kira apa, agar 'aurat' (err, definisi aurat?) terjaga. Agaknya kelahiran bayi PESAKIT ABC itu berkat ke?
* Ustaz/agamawan ni, maaflah, bukan merujuk semua. Tapi segelintir kecil. Saya pernah tulis respon balas kepada seorang ustazah/kolumnis Solusi dan saya hormat dia kerana terima dengan terbuka, itu cth ahli agama yang saya respect... Saya mohon maaf untuk semua ustaz dan ustazah yang sebenarnya banyak membantu doktor. Golongan kecil saja ni, maaf ya.
*Harapnya ni tulisan terakhir tentang ini, banyak benda lain nak tulis tapi tergendala. ahah.

BR1M bukan penyelesaian masaalah kehidupan yang meningkat.




Pada 22 Februari lepas kerajaan Malaysia telah melancarkan skim Bantuan Rakyat Satu Malaysia atau BR1M 2014. Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan akan memperuntukkan RM4.5 billion untuk skim bantuan ini yang akan diberikan kepada 7 juta rakyat Malaysia.
Tambahan pula, beliau juga menyatakan bahawa pada masa akan datang jumlah bantuan ini akan dipertingkatkan lagi jika keadaan kewangan kerajaan bertambah kukuh.

Persoalannya ialah, adakah tindakan ini akan dapat membantu rakyat menangani masalah kenaikan kos kehidupan serta membuktikan bahawa kerajaan yang memerintah sekarang adalah sangat bertanggungjawab serta prihatin terhadap aspek kebajikan masyarakat?

Dari perspektif ajaran Islam, adalah tidak dinafikan bahawa membantu orang yang susah adalah satu perkara yang diajar oleh agama. Al-Quran menekankan perkara tersebut melalui beberapa ayat termasuk yang berikut:

"Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukannya dengan sesuatu pun dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, tetangga yang terdekat dan yang jauh, teman sejawat, Ibnu Sabil dan hamba" (An Nisa' , 4: 36)

“Maka (bagi menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing, pemberian yang demikian adalah baik bagi orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah, dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. ” (Ar-Rum, 30: 38)

“Sesungguhnya, orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman serta pertolongan (kepada orang-orang yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu sama lain … dan jika mereka meminta pertolongan dari kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya, …” (Al Anfal, 8:72)


Terdapat juga banyak hadith yang mengajak kita bersedekah kepada golongan yang miskin. Di bawah adalah beberapa sabda Rasulullah SAW berkenaan amalan sedekah kepada golongan miskin:

“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (Su’ul Khatimah).”


“Yang paling disukai Allah ialah mereka yang paling bermanfaat kepada manusia yang lain. Tingkahlaku yang paling disukai ialah yang menggembiarakan orang Islam yang lain atau meringankan bebannya atau melangsaikan hutangnya atau menyelamatkannya dari kelaparan.”

“Sedekah itu wajib atas setiap orang Islam. Seorang sahabat bertanya, `Jika ia tiada apa yang hendak diberi?’ Jawab Baginda, `Hendaklah ia bekerja dan bila dapat duit, sedekahkanlah sebahagiannya.’ Sahabat itu bertanya lagi, `Jika ia tidak boleh bekerja?’ Jawab Baginda, `Tolonglah orang miskin yang dalam kesusahan.’ ‘Kalau ini juga tidak dapat ia lakukan?’ tanya sahabat itu lagi. Baginda menjawab, ‘Beri nasihat untuk berbuat baik.’ Sahabat itu bertanya, ‘Jika itupun tidak dapat dilakukan?’ Jawab Baginda, ‘Janganlah ia melukakan hati orang lain – itulah sedekahnya.’ ”

"Perumpamaan orang-orang Mu'min dalam saling kasih mengasihani dan sayang menyanyangi, umpama sebujur tubuh yang apabila salah satu anggotanya sakit, seluruh anggota tubuh yang lain turut sama merasai kesakitan tersebut" 


Namun, apa yang perlu kita sedar ialah bahawa semua saranan dan galakan dari ayat Al Quraan dan hadith di atas adalah ditujukan terutamanya kepada ahli masyarakat. Dalam erti kata yang lain, apa yang dikehendaki oleh agama ialah ahli masyarakat sendiri mempunyai sikap saling bantu membantu dan berkorban dengan memberi sumbangan dari pendapatan milik mereka sendiri kepada golongan miskin secara sukarela.

Perkara ini dihuraikan secara terperinci oleh pakar-pakar ekonomi Islam berdasarkan kajian mereka berkenaan aspek pengurusan kewangan sektor awam semasa pemerintahan Rasulullah SAW dan para sahabat.  Menurut mereka, di bawah pemerintahan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda, tugas memberi bantuan kepada golongan miskin bukannya dipikul oleh pemerintah semata-mata. Peranan utama pemerintah adalah memberi galakan kepada rakyat supaya saling bantu membantu antara satu sama lain secara sukarela.
Skim di mana rakyat dipaksa mengeluarkan wang untuk disalurkan kepada golongan miskin hanyalah dalam bentuk zakat. Ini adalah tujuan utama zakat iaitu untuk membantu golongan miskin dan fakir serta golongan terdesak lain yang termasuk dalam senarai asnaf yang layak menerima zakat. Walaupun selepas itu kerajaan Islam memperolehi sumber pendapatan lain seperti Al KharajAl UshrFai dan al Khums, namun, sumber pendapatan tersebut tidak menggantikan skim zakat sebagai mekanisme utama untuk membantu golongan miskin.

Namun, ini tidak bermakna kerajaan langsung tidak boleh memberi sumbangan kepada rakyat miskin. Dalam keadaan di mana kerajaan mempunyai sumber pendapatan yang tinggi dari sumber asli seperti minyak dan hasil mahsul yang lain, maka amatlah wajar sekali kerajaan menyalurkan wang itu kepada golongan miskin kerana dana tersebut pada hakikatnya sememangnya hak rakyat.

Tetapi, adakah itu keadaannya di negara kita sekarang? Adakah kerajaan mempunyai lebihan (surplus) apabila perbelanjaan kerajaan ditolak dari pendapatannya dari sumber asli dan lain-lain? Malangnya tidak.  Sikap kerajaan suka berbelanja lebih dari pendapatan serta berlakunya ketirisan, pembaziran dan pengurusan kewangan yang tidak berhemah telah menghasilkan keadaan di mana sudah 15 tahun berturut-turut kerajaan telah mengumumkan belanjawan defisit. Akibatnya jumlah hutang terkumpulnya sekarang berjumlah lebih dari RM550 billion di mana sebahagian besarnya adalah dari sumber yang berbentuk Riba.
Ini bermakna, kerajaan membayar bunga (interest) atas pinjamannya berjumlah hampir 17 billion ringgit setiap tahun. Malahan, disebabkan keadaan hutang kerajaan yang sentiasa meningkat inilah maka pada tahun lepas, Fitch Rating, iaitu sebuah organisasi penarafan bon antarabangsa telah menurunkan taraf bon kerajaan Malaysia, yang mengakibatkan kos pinjaman kerajaan juga meningkat. Susulan dari itu, kerajaan telah terpaksa membuat keputusan untuk melaksanakan sistem percukaian GST pada tahun 2015 untuk menambahkan pendapatan percukaian kerajaan yang dikutip dari rakyat.

Pendek kata, sebenarnya tabung kewangan kerajaan sudah lama dalam keadaan negatif dan oleh itu, duit yang disumbangkan melalui skim BR1M itu sebenarnya bukannya dari sumbangan peribadi pemimpin-pemimpin yang pemurah dan baik hati tetapi diperolehi dari penambahan kepada hutang kerajaan semata-mata. Perlu juga diambil perhatian bahawa semua hutang-hutang yang telah berjumlah lebih dari RM550 billion itu, termasuk bunga yang dikenakan, akan pada akhirnya ditanggung oleh rakyat. Dalam erti kata yang lain, lambat laun kerajaan akan terpaksa meminta rakyat menyumbang dengan lebih gigih kepada usaha membayar balik beban hutangnya  yang besar itu dengan menggunakan berbagai-bagai kaedah kutipan termasuk cukai pendapatan, cukai syarikat, cukai import dan cukai GST.

Di samping itu, kita juga perlu sedar bahawa sebenarnya punca utama kepada keadaan di mana ramai rakyat hidup dalam keadaan yang sengsara akibat daripada kos kehidupan yang sentiasa meningkat adalah kerana sistem kewangan Riba yang diamalkan di negara kita dan di serata dunia. Sistem ini yang berasaskan industri perbankan telah menciptakan wang dengan banyak melalui proses penciptaan kredit (hutang). Akibatnya, bukan sahaja tahap harga dalam sistem ekonomi sentiasa meningkat bahkan juga menambahkan beban hutang kepada rakyat.
Di Malaysia sebagai contoh, beban hutang isi rumah telah pun melebihi RM750 billion pada tahun 2012.  Oleh itu, selagi sistem kewangan berasaskan Riba dibenarkan berkembang, maka masalah kesengsaraan ekonomi akibat kenaikan kos kehidupan dan beban hutang tidak akan selesai. Buktinya ialah keadaan yang sama sedang berlaku di negara lain yang beramal dengan sistem Riba termasuk di Jepun, Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat walaupun kerajaan mereka secara umumnya adalah tidak korup.
Sebagai rumusan, walaupun skim BR1M mungkin berjaya mewujudkan persepsi dari kalangan yang terdesak bahawa kerajaan adalah dipimpin oleh ahli politik yang pemurah dan baik hati, namun hakikat sebenarnya ialah ianya tidak akan berupaya menyelesaikan masalah ekonomi rakyat dalam jangka panjang. Bahkan dalam jangka panjang, persepsi tersebut besar kemungkinan akan diganti dengan perasaan marah apabila rakyat sedar bahawa beban hutang yang ditanggung oleh mereka semakin meningkat dan keadaan kehidupan mereka yang melarat masih tidak berubah dan kos kehidupan sentiasa meningkat.
Besar kemungkinan juga rakyat yang semakin kecewa akan memilih kerajaan baru untuk memerintah mereka. Malangnya pada masa itu nanti, jika beban hutang kerajaan terlampau tinggi dan sistem ekonomi dan kewangan negara masih tidak berubah, besar kemungkinan juga kerajaan baru yang bakal dilantik tidak akan berjaya menyelesaikan masalah ekonomi yang dihadapi dalam masa yang singkat dan lambat laun akan digulingkan juga.

Tulisan:
Prof Dr Mohd Nazari Ismail
Unit Penyelidikan IKRAM
 

Blogger news

Popular Posts